Kamis, 26 Desember 2013
Gempur ‘Port’ Pendatang
SHAH ALAM: Pendatang asing tanpa izin terus digempur Jabatan Imigresen Selangor bagi memastikan warga asing yang ada di negeri ini memiliki dokumen dan permit kerja yang disahkan kerajaan.
Dalam operasi terbaru kelmarin di beberapa lokasi di Cheras dan Puchong, seramai 15 warga asing termasuk seorang wanita yang melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen ditahan.
Warga asing yang ditahan didapati bekerja di kawasan perumahan, kondominium dan premis perniagaan selain menetap di kawasan pangsapuri berkenaan memandangkan ia sudah menjadi lokasi warga asing melepak sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan penduduk setempat.
Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor Othman Montil berkata, Ops 6P yang dijalankan selama lebih lima jam bermula 9.30 malam itu menahan seramai 15 warga asing masing-masing 14 lelaki dan seorang wanita terdiri daripada warga Nepal, India, Filipina, Nigeria dan Pakistan.
Menurutnya, warga asing yang ditahan berusia antara 17 dan 38 tahun didapati melakukan pelbagai kesalahan seperti tinggal lebih masa, menyalahgunakan permit kerja dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Kawasan serbuan adalah antara lokasi tumpuan penempatan warga asing, walau sudah banyak operasi dijalankan, masih terdapat warga asing yang berdegil dan terus melanggar undang-undang Imigresen negara ini.
“Jabatan Imigresen akan terus menyerbu lokasi tumpuan warga asing dan memastikan mereka tidak terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati menyalahi Akta Imigresen,” katanya.
Beliau berkata, semua yang ditahan akan dihantar ke Depoh Tahanan Sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk siasatan lanjut.
Katanya, warga asing terbabit akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1963/59 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan menyalah gunakan permit kerja.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar